Didik Al Quran

Saturday 17 December 2011

Perkahwinan Part 3

AKAD PERKAHWINAN
Definisi Bahasa : berkumpul atau himpun
Istilah Fiqh : suatu ikatan yang berlaku melalui akad yang menggunakan perkataan kahwin di antara pasangan lelaki dengan pasangan perempuan bagi mengharuskan pergaulan di antara mereka dan menghalalkan persetubuhan yang diharamkan di antara mereka sebelumnya.


Rukun Nikah

1. Lelaki bakal suami.

2. Perempuan bakal isteri.

3. Wali.

4. Dua orang saksi.

5. Ijab dan Qabul.

Pengantin :Pengantin ialah pasangan lelaki dan wanita yang ingin melangsungkan akad perkahwinan.

Syarat Pengantin Lelaki
1. Tidak di dalam mengerjakan ihram.

2. Perkahwinan diadakan dengan pilihannya sendiri.

3. Bukan muhrim kepada pengantin perempuan.

4. Lelaki yang belum mempunyai 4 orang isteri.

5. Mengetahui bakal isteri dan wali.

6. Jelas sebagai seorang lelaki.

Syarat Pengantin Perempuan
1. Pengantin perempuan tidak dalam mengerjakan ihram.

2. Bukan isteri kepada mana-mana lelaki.

3. Tidak dalam penantian iddah.

4. Beragama Islam atau ahli kitab yang asli.

5. Perkahwinan adalah dengan kerelaan sendiri bagi gadis masih dara.

6. Jelas dan pasti sebagai seorang wanita.

7. Pengantin perempuan sudah ditentukan. 

Wali
Wali ialah ahli keluarga lelaki yang hampir dengan pengantin perempuan. Tanpa wali, perkahwinan itu tidak sah. Islam mensyariatkan wali dalam akad prkahwinan kerana perempuan adalah golongan lemah dan mesti ada pengawasan oleh mereka yang bertanggungjawab terhadapnya. Wali dibahagikan kepada 2 jenis :

1. Wali mujbir : bapa atau datuk daripada sebelah bapa hingga ke atas kepada seseorang gadis.

2. Wali bukan mujbir : wali-wali selain daripada bapa dan datuk atau semua wali bagi janda.

Wali mujbir boleh mengahwinkan anak perempuannya yang masih dara, baik yang sudah cukup umur atau belum cukup umur tanpa perlu meminta izin gadis tersebut dengan syarat :

a) Tidak ada permusuhan antara wali mujbir dengan gadis.

b) Gadis dengan lelaki yang akan dinikahinya juga tidak ada permusuhan.

c) Lelaki yang akan dinikahkan dengan perempuan itu ada kufu.

d) Pengantin lelaki sanggup membayar mas kahwin kepada gadis yang akan dikahwin.

Bagi seorang gadis, wali mujbir adalah disunatkan supaya meminta izin dan persetujuan daripada gadis terlebih dahulu. Mana-mana perempuan yang sudah berkahwin atau janda, walinya samada wali mujbir atau bukan mujbir mestilah meminta izin daripadanya terlebih dahulu. Tanda keizinan seseorang janda mestilah dengan kata-kata dan persetujuannya.


Wali terbahagi kepada 2 :

1. Wali nasab.

2. Wali hakim.

Susunan Wali Nasab
1. Bapa.

2. Datuk lelaki dari sebelah bapa juga ke atas.

3. Adik-beradik lelaki seibu sebapa.

4. Adik beradik lelaki sebapa.

5. Anak-anak saudara lelaki seibu sebapa hingga ke bawah.

6. Anak saudara lelaki sebapa hingga ke bawah.

7. Bapa saudara seibu sebapa.

8. Bapa saudara sebapa.

9. Anak lelaki daripada bapa saudara seibu sebapa hingga ke bawah.

10. Anak lelaki daripada bapa saudara hingga ke bawah.

Mereka yang paling atas disebut sebagai wali akrab dan wali selepasnya dikenali dengan wali ab’ad. Oleh itu sekiranya masih ada wali akrab, maka wali ab’ad tidak boleh menikahkan.

Wali Hakim
Wali hakim ialah sultan atau wakilnya. Apabila wali nasab tidak ada, perempuan dinikahkan oleh wali hakim. Syarat seseorang perempuan berkahwin dengan wali hakim :

1. Tiada wali nasab.

2. Wali akrab tidak cukup syarat sebagai wali atau wali ab’ad tidak ada.

3. Wali akrab menghilangkan diri dan tiada wakilnya.

4. Wali akrab ditahan atau dipenjara.

5. Wali akrab tidak dapat dikesan.

6. Wali akrab dalam ihram.

7. Wali akrab enggan menikahkan.

8. Wali akrab menyembunyikan diri.

9. Wali akrab mafqud, iaitu hilang dan tidak diketahui tempat atau hidup atau matinya.

Syarat Wali


1. Baligh.

2. Islam.

3. Merdeka.

4. Bukan dalam ihram.

5. Lelaki.

6. Kerelaan sendiri.

7. Adil.

8. Waras.

Sighah
Sighah ialah lafaz ijab dan qabul. Ijab ialah lafaz yang diucapkan oleh perempuan atau wakilnya dan sebagainya. Qabul pula ialah lafaz yang diucapkan oleh pengantin lelaki atau wakilnya.

Syarat Ijab dan Qabul

1. Mestilah berterusan antara ijab dan qabul.

2. Ada hubungan antara ijab dan qabul.

3. Disebut secara khusus perempuan yang dinikahkan dalam ijab dan qabul.

4. Didengar oleh 2 orang saksi lelaki yang faham maksudnya.

5. Tidak ada taklik .

6. Tidak ada batasan waktu.

Syarat Menjadi Saksi
1. Perkahwinan mestilah disertakan 2 orang saksi lelaki.

2. Waras.

3. Adil.

4. Muslim.

5. Merdeka.

6. Cukup umur.

Perempuan Yang Haram Dikahwini

1. Sebab ada hubungan nasab dan keturunan.

2. Sebab penyusuan.

3. Sebab persemendaan.

4. Sebab permaduan.

5. Sebab kafir.

6. Sebab isteri orang.

7. Sebab dalam iddah.

Larangan Disebabkan Nasab dan Keturunan
Mereka yang dimaksudkan ialah :

1. Ibu, nenek dan ke atas.

2. Anak perempuan, cucu, cicit dan ke bawah.

3. Adik beradik perempuan seibu sebapa.

4. Adik beradik perempuan sebapa.

5. Adik beradik perempuan seibu.

6. Adik beradik perempuan kepada ibu dan ke atas.

7. Adik beradik perempuan kepada bapa dan adik beradik perempuan kepada datuk.

8. Anak perempuan daripada adik beradik seibu sebapa dan ke bawah.

9. Anak perempuan daripada adik beradik lelaki seibu sebapa.

10. Anak perempuan daripada adik beradik sebapa.

Larangan Sebab Penyusuan
Seseorang kanak-kanak lelaki yang menyusu kepada seseorang perempuan sebanyak 5 kali atau lebih dan umurnya kurang daripada 2 tahun dikenali dengan ibu susunya dan perempuan tersebut haram dinikahi, begitu juga haram menikahi orang yang ada pertalian yang ada pertalian dengan ibu susunya itu. Mereka yang dimaksudkan ialah :

1. Ibu susu, emak kepada ibu susu dan ke atas.

2. Adik beradik perempuan sesusu dan ke bawah.

3. Emak saudara kepada ibu susuan dan ke atas.

4. Bekas isteri anak lelaki sesusuan.


Larangan Sebab Persemendaan
Mereka yang dimaksudkan ialah :

1. Emak mertua, neneknya dan ke atas.

2. Anak tiri perempuan dan anak-anaknya hingga ke bawah apabila sudah bersetubuh dengan emaknya.

3. Menantu perempuan, anak-anaknya dan ke bawah.

4. Isteri bapa (nenek) dan ke atas.


Larangan Sebab Permaduan
Mereka yang dimaksudkan ialah :

1. Adik beradik perempuan kepada isteri, iaitu haram dimadukan 2 beradik dalam satu masa.

2. Mengumpulkan anak saudara dengan emak saudara dalam satu masa.

3. Isteri juga haram dimadukan dengan adik beradik perempuan kepada ibunya baik adik beradik emaknya yang seibu sebapa, sebapa atau seibu.

Larangan Sebab Kafir
Lelaki Islam juga diharamkan berkahwin dengan wanita bukan Islam, kecuali ahli kitab. Perempuan ditegah sama sekali berkahwin dengan lelaki yang bukan Islam, walaupun ahli kitab yang asli.

Larangan Sebab Isteri Orang
Mana-mana perempuan yang telah menjadi isteri orang haram dan tidak boleh dikahwini.

Larangan Sebab Iddah
Perempuan yang bercerai dengan suaminya atau kematian suami dan masih dalam iddah haram dikahwini oleh mana-mana lelaki.

No comments: