Didik Al Quran

Friday 9 December 2011

Perkahwinan Part 1

Assalamualaikum...
Dah mula cuti sekolah ni mesti ramai yang mendapat jemputan perkahwinan. Ada dikalangan saudara mara terdekat, teman-teman sekuliah dulu mahu pun dikalangan jiran tetangga dan rakan sekerja.


Baru-baru ini saya menghadiri perkahwinan rakan sekerja. Itu yang membuatkan saya juga tiba-tiba rasa teruja untuk melangsungkan perkahwinan. Insyaallah, saya dah bersedia dari segi fizikal dan mental.


Islam sentiasa menggalakkan umatnya supaya hidup berkeluarga bagi sesiapa sahaja yang berkemampuan. Hidup berkeluarga dan berkahwin khasnya dapat membantu seseorang mencapai kesempurnaan dalam agama serta merupakan suatu sunnah Nabi. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud dan Al-Hakim yang bermaksud :

“Berkahwinlah kamu dan beranak pinaklah kamu dengan banyaknya, sesungguhnya aku akan berbangga dengan kamu berbanding umat-umat lain pada hari akhirat nanti.”
Dalam konteks lain, perkahwinan dan hidup berkeluarga juga merupakan suatu institusi sosial yang akan membentuk anak-anak dan zuriat keturunan dalam kelompok keluarga, seterusnya akan membentuk masyarakat dan berkembang membentuk sebuah negara. Firman Allah dalam surah Al-Dhariyat ayat 49 yang bermaksud :

“Dan tiap jenis Kami ciptakan berpasangan supaya kamu mengingati (kekuasaan Kami dan mentauhidkan Kami).”

Dalam membentuk institusi keluarga, Islam lebih menekankan galakan tersebut kepada mereka yang belum memiliki isteri serta golongan remaja dan belia khasnya. Ini kerana mereka yang selalunya mudah terdorong ke lembah maksiat dan menghadapi lebih banyak cabaran sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Mas’uda yang bermaksud :

“Wahai pemuda, sesiapa sahaja daripada kamu yang mampu untuk berkahwin, hendaklah berkahwin. Sesungguhnya perkahwinan itu menutup pandangan dan menjaga kehormatan. Dan sesiapa di antara kamu yang tidak mampu, maka hendaklah ia berpuasa, kerana ia boleh menjadi perisai.”
Terdapat banyak nas dan dalil al-Quran serta hadis tentang galakan dan saranan perkahwinan serta peraturan yang berkaitan dengan pasangan suami isteri.

1. Firman Allah dalam surah Al-Nur ayat 32 yang bermaksud : “Dan kahwinlah orang bujang (lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah S.W.T. akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah S.W.T. Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui.”

2. Firman Allah dalam surah An-Nisa’ ayat 3 yang bermaksud : “… maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain) : dua, tiga atau empat. Kemudiaan jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil di antara (isteri-isteri kamu) maka (berkahwinlah dengan) seorang sahaja…”

3. Hadis yang diriwayatkan oleh Al-Bukhari dari sabda Rasulullah yang bermaksud : “Perkahwinan itu sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku.”

4. Hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud : “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja di antara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri.”

Mengikut asalnya, hukum perkahwinan adalah sunat bagi sesiapa sahaja yang berhasrat untuk berkahwin serta sanggup membayar mas kahwin kepada isteri dan mampu menyara nafkahnya. Walau bagaimanapun hukum tersebut adalah berubah mengikut keadaan seseorang :

1. Wajib : terhadap mana-mana lelaki yang mempunyai kemampuan nafkah zahir dan batin serta mereka bimbang diri mereka akan terjerumus ke lembah zina dan keji sekiranya tidak berkahwin.

2. Sunat : bagi mereka yang mempunyai kemampuan di segi nafkah zahir dan batin serta mempunyai nafsu juga berkeinginan untuk berkahwin dan bertujuan untuk menjaga kehormatan diri dan kesempurnaan agama, namun begitu mereka masih dapat mengawal diri mereka daripada perbuatan zina dan terkutuk sekiranya tidak berkahwin.

3. Harus : bagi sesiapa yang tidak mempunyai apa-apa sebab yang memdorong mereka berkahwin dan tidak ada sebab yang menghalang mereka daripada berkahwin.

4. Haram : bagi mereka yang tidak mempunyai kemampuan dari segi nafkah zahir dan batin atau mereka berkahwin dengan tujuan untuk menzalimi perempuan yang menjadi isterinya.

5. Makruh : tidak mampu dari segi zahir dan takut apabila dia berkahwin, dia akan menganiaya isterinya.

No comments: