Didik Al Quran

Monday 12 December 2011

Perkahwinan Part 2

PERSEDIAAN SEBELUM KAHWIN

Memilih Jodoh

Islam mengharuskan lelaki dan wanita mencari dan meneliti bakal isteri dan bakal suami masing-masing melalui syarat tertentu yang diharuskan oleh syarak. Dalam proses perkahwinan, Islam juga menitikberatkan soal persamaan taraf, iaitu kufu dan pasangan yang sesuai, mencakupi keagamaan, keturunan, pendidikan, harta, kecantikan dan lain-lain.

Memilih Bakal Isteri

· Mengutamakan perempuan yang solehah serta dapat melahirkan zuriat.

· Faktor sampingan seperti kecantikan, harta dan keturunan.

· Rasulullah juga menggalakkakn umatnya supaya mengahwini dan memilih wanita yang memiliki sifat lemah-lembut, penyayang dan dapat melahirkan anak sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Al-Nasa’i yang bermaksud : “Kahwinilah wanita yang bersifat penyayang dan boleh melahirkan anak, sesungguhnya aku berbangga dengan bilangan kamu yang ramai.”

Memilih Bakal Suami

· Beragama.

· Berakhlak mulia.

· Beradap.

· Mempunyai harta dan keturunan mulia.



Tujuan Pemilihan Calon Isteri Atau Suami

1. Supaya rumah tangga yang bakal mereka bina akan terbentuk secara harmoni dan saling berpuas hati.

2. Lahir perasaan saling kasih mengasihi dan redha meredhai antara satu sama lain.

3. Supaya dapat mencari pasangan yang mulia serta dapat melahirkan zuriat dari keluarga yang berketurunan mulia.

Meminang

1. Peminangan boleh dilakukan secara terus terang atau melalui sindiran dan kiasan terhadap mana-mana wanita yang masih dara.

2. Pinangan yang dibuat terhadap janda yang masih dalam iddah boleh dilakukan dengan cara sindiran sahaja. Sesiapa yang menyatakan pinangan terhadap janda yang belum habis iddah secara terus terang atau dengan membuat janji bersama adalah haram hukumnya.

Rasulullah melarang keras perbuatan melakukan peminangan terhadap wanita yang telah dipinang oleh orang lain dan hukumnya adalah haram peminangan tersebut sekiranya pinangan itu telah diterima oleh perempuan. Sebagaimana hadis Baginda yang bermaksud : “Dilarang seseorang lelaki meminang di atas pinangan saudaranya, sehinggalah dia berkahwin dengan perempuan lain atau meninggalkan perempuan yang dipinangnya.”

Sewaktu berlangsung proses pertunangan dan selepas selesai peminangan, harus bagi lelaki atau perempuan membawa atau memberi sesuatu hadiah atau bertukar hadiah antara mereka sebagai tanda ikatan perjanjian. Namun begitu lelaki dan wanita ditegah dan haram mengadakan pergaulan bebas bersama tunangnya.

Mas Kahwin

Setiap akad perkahwinan mempunyai mas kahwin dalam bentuk benda yang bernilai walaupun kecil atau faedah dan manfaat yang diberikan oleh suami kepada isterinya kerana akad perkahwinan. Sebagaimana sabda baginda riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud yang bermaksud : “Carilah mas kahwin walaupun berupa sebentuk cincin besi.”

Sekiranya berlaku penceraian di antara pasangan suami isteri sebelum berlakunya persetubuhan, suami wajib membayar mas kahwin separuh kepada isterinya. Manakala penceraian yang berlaku selepas diadakan persetubuhan, suami mestilah membayar semua mas kahwin. Jika suami atau isteri meninggal dunia selepas akad perkahwinan walaupun tidak sempat melakukan persetubuhan maka mas kahwin wajib di bayar kesemuanya.

Syarat benda yang dijadikan mas kahwin :

1. Mestilah daripada benda yang suci atau benda yang dapat disucikan.

2. Ada faedah atau pekerjaan yang berfaedah.

3. Ia adalah milik suami.

4. Mampu diserahkan kepada isteri bila-bila masa sahaja.

5. Diketahui sifat dan jumlahnya.

Syarak menyarankan serta menggalakkan kadar mas kahwin yang rendah dan sederhana sebagaimana sabda nabi dalam sebuah hadis riwayat Al-Hakim yang bermaksud : “Sebaik-baik mas kahwin ialah yang termudah.”

Syarak telah menetapkan, sesiapa pun tidak boleh mengambil mas kahwin pengantin perempuan, baik ibu bapa atau suaminya sendiri. Ia menjadi milik isteri, kecuali setelah beliau memberikannya atau menghibahkan kepada sesiapa.

Jenis Mas Kahwin

1. Ditentukan dan disebutkan semasa majlis akad dan dinamakan mahar al-musamma yang dibahagikan kepada 2 jenis :

a) Mahar musamma al-mua’jjal : mas kahwin yang disebut di dalam akad serta dibayar oleh suami secara tunai dan segera.

b) Mahar musamma al-mua’jjal : mas kahwin yang disebut semasa akad tetapi dibayar secara tangguh dan hutang. Walau bagaimanapun mas kahwin sunat dibayar segera sebahagian atau semua sekali.

2. Mas kahwin yang tidak ditentukan jumlahnya sewaktu akad, ia dinamakan mahar al-mithil. Mas kahwin jenis ini mestilah dibayar kepada pengantin perempuan mengikut kadar penilaian ahli keluarga dan saudara perempuan isteri.

Hantaran

Syarak tidak menetapkan bentuk dan kadar khusus terhadap hantaran. Ia bergantung kepada kemampuan dan asalkan tidak bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, bermegah dan melampau sampai tahap membazir dan berhutang.

Hikmat Hantaran

1. Dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

2. Memuliakan pengantin lelaki dan perempuan.

3. Memuliakan keluarga lelaki dan keluarga perempuan.

4. Saling bertukar hadiah antara kedua belah pihak.

Kenduri Kahwin

Jamuan yang diadakan untuk meraikan sesuatu perkahwinan. Mengadakan majlis kenduri kahwin sunat muakkad hukumnya supaya dilaksanakan walaupun sederhana atau keci-kecilan. Apa yang penting majlis kenduri tersebut tidak bercampur aduk dengan sebarang unsur-unsur maksiat dan perkara yang bercanggah dengan syarak. Sesiapa yang dijemput atau diundang ke majlis kahwin wajib menghadiri majlis tersebut sekiranya tiada sebarang keuzuran syarak dan selagi majlis yang diadakan itu tidak berunsur maksiat dan khurafat sebagaimana sabda Rasulullah dalam riwayat Al-Bukhari yang bermaksud : “Apabila kamu dijemput ke majlis kenduri, hendaklah kamu datang.”

Kepentingan Kenduri Kahwin

1. Untuk menyatakan rasa kesyukuran kepada Allah.

2. Untuk memberitahu orang ramai tentang perkahwinan tersebut. Sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Tirmizi dan Ahmad yang bermaksud : “Umumkanlah perkahwinan ini di masjid-masjid dan pukullah gendang”.

3. Kenduri kahwin adalah sunat muakkad.

4. Untuk meraikan dan memuliakan pasangan pengantin baru.

5. Untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan dan ukhwah Islamiyyah antara kedua belah pihak pengantin dan di antara masyarakat Islam dan jiran seluruhnya.

6. Untuk mengelakkan sebarang fitnah dan prasangka buruk daripada masyarakat terhadap pasangan tersebut kiranya tidak diadakan majlis kenduri tersebut.

No comments: